|
Minggu lepas saya membeli sebuah buku yang dibawa oleh seorang jurujual yang datang ke tempat saya berkerja. Bila dilihat buku tersebut, rupa-rupanya buku yang sedang saya cari iaitu "LA TAHZAN - JANGAN BERSEDIH". Ia merupakan sebuah buku yang sarat dengan elemen-elemen motivasi berbentuk keislaman. Membaca satu tajuk dalam buku tersebut mengingatkan saya kepada tips ke-6 dalam artikel terdahulu, iaitu tabah sekiranya impian tersebut gagal direalisasikan. Biasakan diri untuk menerima qadha dan qadar. Kita tidak mampu mengelak dari sesuatu yang telah ditakdirkan. Yang mampu kita lakukan hanyalah beriman dan berserah diri. Oleh itu siapkan diri untuk menghadapinya. Ketahuilah sesungguhnya kemuliaan itu diukur dari kemurahan hati, sifat terpuji, kesabaran dan akalnya serta nilai keilmuannya. Hidup kekurangan bukanlah bukti bahawa dia hidup sengsara. Demikian pula dengan kebahagiaan, tidak dinilai dari banyaknya harta dan hidup dalam kemewahan. Sebagaimana Sabda Rasullah s.a.w:- "Terimalah dengan penuh kerelaan dengan apa yang telah Allah s.w.t berikan kepadamu, nescaya kamu menjadi manusia yang paling kaya" Firman Allah : "Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya (dengan kekayaan), lalu dia dimuliakanNya dan diberikanNya kesenangan, maka dia akan berkata : Tuhanku telah memuliakan aku". Adapun bila Tuhannya mengujinya (dengan kemiskinan), lalu disempitkanNya rezekinya, maka dia berkata : "Tuhanku telah menghinaku" (Al-Fajr : 15-16) |
| Leave a Comment: |